BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, September 30, 2011

jom bangun cinta!!!!


Wednesday, September 21, 2011

Batas dlm mbantu manusia

Kita semua ada sifat mahu menolong. Itu baik. Manusia bersifat tidak sempurna. Bantu membantu akan menjadikan hidup ini lebih baik dan indah. Kita juga adakalanya memerlukan pertolongan orang lain dalam melakukan sesuatu hal yang bukan kepakaran kita.


Demikian pula sebaliknya. Maka sifat ingin menolong dijadikan Allah dalam diri manusia sebagai bukti keadilan Allah yang Maha Adil. Apabila kita melihat seseorang dalam kesusahan atau punya kekurangan, ada terasa ingin membantu dan mengisi kekurangan itu. Maka kita bantu sehingga kekurangan itu hilang dan orang lain akan merasa bahagia.


Namun dalam membantu juga ada batas yang perlu dilihat dan diambil perhatian. Orang yang membantu tidak bolah memudaratkan diri sendiri ketika bantuan sedang diberi. Jika kita sedar diri sedang terisiko dalam memberi bantuan, eloklah menghindarkan diri dan bantulah dalam lingkungan kemampuan kita.


Kerana mudarat yang kita dapat semasa memberi bantuan mungkin boleh merosakkan diri dan akhirnya kita tidak boleh lagi memberi bantuan bukan sahaja pada seorang individu, malah kepada individu lain.


Sebagai contoh, kita mengambil situasi keselamatan dalam sebuah kapal terbang, Anak kapal akan sentiasa mengingatkan ciri-ciri keselamatan semasa berada dalam keadaan kecemasan. Semasa memakai alat bantuan pernafasan, penjaga perlu memakaikan alat itu pada dirinya dahulu sebelum membantu orang yang berada dalam jagaannya.


Kita lihat hal ini seperti mementingkan diri sendiri, tetapi inilah cara yang paling efektif supaya penjaga itu boleh terus membantu orang yang di bawah jagaan mereka. Jika ada apa-apa berlaku kepada penjaga tersebut akibat mementingkan orang dibawah jagaannya, tentulah terputus bantuan penjaga ini terhadap mereka di bawah jagaannya dan mudarat ini adalah lebih besar.


Manusia yang paling suka membantu yang pernah kita dengar adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW melihat ummatnya dalam keadaan jahil dan mahu membantu ummatnya kembali ke jalan Ilahi semampu beliau.
Rasulullah SAW sanggup melakukan apa jua cara asalkan ummatnya faham apa yang disampaikannya. Sehingga sampai satu tahap Musyrikin Mekah mahu membuat perjanjian dengan Rasulullah SAW untuk bertukar agama buat dalam satu tempoh. Rasulullah hampir bersetuju dengan pertukaran ini kerana secara logiknya mungkin pihak Musyrikin akan merasai kebenaran agama Islam semasa mereka menganut Islam dalam masa yang telah ditetapkan.


Namun Allah SWT yang maha bijaksana dan sentiasa memelihara Nabi SAW sebagai kekasihNya memberi jawapan dan menurunkan surah Al-Kafirun sebagai jawapan tegas kepada tawaran musyrikin Mekah. Bagimu agamamu dan bagiku agamaku.


Jadi dapat kita lihat terdapat batas yang perlu diambil kira dalam membantu manusia. Selagi mana bantuan itu tidak memudaratkan diri dan tidak menjadi maksiat kepada Allah, kita boleh membantu. Tetapi jika bantuan itu membuatkan kita hanyut dan semakin jauh dari Allah SWT, eloklah kita hindarkan dan serahkanlah kepada Allah sebagai sebaik-baik pembantu. Bak kata pepatah "Buat baik berpada-pada".


"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya." (Al-Ma'idah : 2)


- Artikel iluvislam.com

Sunday, September 18, 2011

Musibah : Jalan Menuju Kebahagiaan

Musibah seringkali ditakrifkan sebagai ujian, bencana, atau balasan daripada Allah SWT. Pelbagai bentuk musibah berlaku seperti kehilangan orang yang disayangi, kemusnahan harta benda, keruntuhan rumahtangga, kegagalan dalam perencanaan atau sebagainya. Impak daripada musibah ini boleh merubah situasi seseorang bergantung kepada tahap penerimaan mereka.

Sekiranya diterima secara positif, maka musibah dapat memberi kesan yang baik. Akan tetapi sekiranya individu yang ditimpa musibah mengambil peristiwa itu secara negatif maka ia boleh jadi membawa kehancuran yang merugikan. Oleh itu, kita seharusnya mendalami situasi musibah itu supaya ia dapat membawa kesejahteraan.

Apakah yang harus kita lakukan apabila ditimpa masalah atau musibah ? Apakah dengan merasa sedih, keluh kesah dan membinasakan diri sendiri dapat menyelesaikan sesuatu perkara. Jawapannya adalah dengan kembali kepada Allah.Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.Firman Allah SWT :

"Tiada sesuatu musibah yang menimpa seseorang kecuali dengan izinNya.. Dan barangsiapa yg beriman kepada Allah nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya..."( At-Taghabun:11).


Kita seharusnya redha dengan apa yang berlaku kerana ia merupakan qada dan qadar daripada Allah. Seharusnya seseorang yang beriman tidak boleh mengatakan Allah itu tidak adil semata-mata kerana musibah yang menimpa dirinya begitu pedih untuk ditanggung. Kita tidak berhak untuk memilih dugaan atau musibah itu sesuai dengan kehendak kita.
Ini kerana Allah Maha Mengetahui atas tiap-tiap sesuatu. Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yg bermaksud:.

"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi(pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.".


Apabila Allah menimpakan musibah kepada kita, itu sebenarnya tanda Allah kasih kepada kita. Ia juga merupakan suatu ujian penilaian keimanan diri, sejauh mana kita benar-benar beriman atau keimanan kita begitu nipis sehingga hanya dengan sedikit dugaan, hati kita berubah.Cuba renungkan firman Allah ini:

"Dan, sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah:155).


Setiap manusia mempunyai titik tolak dalam kehidupannya. Maka apabila ditimpa musibah eloklah kita iktikadkan dalam hati, bahawa inilah titik permulaan dalam hidup kita. Barangkali musibah yang melanda merupakan suatu isyarat daripada Allah untuk kita bermuhasabah diri bagi membuat perubahan. Ringkasnya apa yang telah berlaku itu mempunyai hikmah yang harus di nilai. Kita harus memperbanyakkan beristighfar, membaca selalu innalillahhiwainnailaihirajiuun dan sebagainya.

Disamping itu, jadikan Alquran, sebagai teman. Berdoalah kepada Allah untuk memohon bantuan, dan diberikan keringanan dalam urusan. Firman Allah dalam surah Al-Mukmin ayat 60 yg bermaksud:

"Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan aku perkenankan bagimu".


Bagi mengelakkan kita dari terus mengingati situasi sedih yang dihadapi maka kita hendaklah melakukan pelbagai aktiviti yang bermanfaat seperti melibatkan diri dengan aktiviti masyarakat, menghadiri ceramah, mengunjungi saudara mara dan sebagainya. Seterusnya kita hendaklah bertawakkal kepada Allah setiap masa dalam apa jua keadaan.Firman Allah dlm surah Al-Maidah ayat 23:

"...dan hanya kepada Allah lah hendaknya kamu bertawakkal jika kamu benar-benar beriman".

Jangan lupa mengadu kepada Allah sekiranya hidup seringkali ditimpa kegelisahan dan kesempitan. Maka ucaplah Hasbunallah Wanikmal Wakil yang bermaksud :, Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.".(Az-Zumar:10).


Sebagai kesimpulannya, tiada masalah tanpa penyelesaiannya. Kita harus mengkaji dan meneliti, sebagaimana setiap penyakit mempunyai penawarnya. Anggaplah musibah itu sebagai tiket untuk mendekati Allah dan sebagai jalan menuju bahagia. Ingatlah janji Allah di dalam surah Al-Insyirah bahawa sesudah kesulitan ada kemudahan.
Artikel iluvislam.com