Hati manusia, walau sekeras mana pun pasti akan lembut. Tapi semua itu atas kehendak yang Berkuasa...
Dia tidak pernah menangis apabila dikutuk dan dikritik di hadapan khalayak. Baginya, menangis itu menunjukkan kelemahan. Walaupun hatinya terdetik, "Ya Allah, apakah dosaku sampai aku diperlakukan sebegini."
Dia tidak pernah mengadu kepada sesiapa kecuali seorang teman yang dia amat percaya. Baginya, biarlah semua itu dipendam sendirian. Biarlah semua orang tidak tahu penderitaan dan sengsara yang ditanggung. Atas sebab apa? Manusia hanya pandai menilai melalui paras rupa, tingkah laku, cara percakapan tapi jauh di sebalik hati tiada siapa yang tahu.
Entah mengapa semakin hari dirinya merasakan kehilangan sesuatu. Bukannya kekasih ataupun sesiapa yang disayangi. Tapi kegembiraan yang selama ini dinikmati semakin jauh dibawa arus. Semua orang yang mengenali tahu dia seorang yang sabar, kuat dan jarang menunjukkan kemarahan dan kelemahan di hadapan sesiapa. Tapi hati manusia bergelar wanita tiada siapa tahu atau cuba selongkari. Dia terkenal di sekolah antara pelajar yang agak nakal, bukan daripada segi disiplin tapi nakal dari segi tingkah laku, suka kacau orang, suka gegarkan kelas, suka buat orang ketawa malah suka buat orang sakit hati. Tapi itu cuma sementara, untuk menutup kelemahan yang ada. Baginya teman di sekolah dan di sisi tidak sama. Di sekolah tempat dia bergembira tanpa kenal perasaan sedih tapi bila tiba waktu pulang perasaan sebak menanti di hati. Kenapa?
Kerana dia bukannya tidak pernah sedih....
Hampir setiap hari dirasakan masa sungguh pantas berlari. Sehinggakan setiap malam merintih pada-Nya memohon kemaafan dan keampunan atas dosa yang dilakukan. Baginya diri belum cukup sempurna selagi ada mata-mata yang memandangnya jelek. Atas gaya jalan seperti lelaki sehingga ada guru di sekolah berkata, "Brutal dia ni." Tapi apakan daya, cara jalan dia memang sebegitu. Bukannya dia tidak pernah cuba untuk memperbaiki.
Biarlah orang berkata apa yang mereka suka, sebab mereka ada hak untuk berkata-kata. Tetapi prinsip hidupnya tidak pernah lari. Dia tidak pernah kenal apa itu cinta manusia, dia hanya mencari cinta Ilahi. Itulah yang perlu dicari untuk perjalanan akhirat nanti. Janji Allah itu pasti. Tapi dia juga masih ingin mengenal kasih sayang. Dia seorang wanita yang amat memerlukan kasih sayang. Dalam hidupnya penuh duka walaupun di mata temannya dia seorang yang ceria.
Pernah suatu ketika, hatinya hancur dek kehilangan insan yang amat disayangi. Insan bernama ayah yang amat penyayang lagi bertanggungjawab. Walaupun waktu kecil dahulu dia sering dirotan, dicili akibat kenakalan. Tahun ini genap tiga tahun pemergian insan tersebut. Terlalu pantas masa berlalu. Masih berkesempatan dia menjenguk ke daerah pusara ayahandanya. Tahun ini juga sudah empat kali dia tidak dapat mencium tangan dan dahi, mendakap penuh mesra ayahnya. Masih dirindui gelak dan suaranya walaupun ketika itu ayahnya sedang sakit.
Banyak lagi kehilangan yang berlaku dalam hidupnya. Rakan-rakan seperjuangan yang sama-sama menuntut ilmu, sahabat yang turut sama mengikuti program, adik-adik yang mengikuti perkembangan dirinya. Namun, dia sering kecewa dan hampa apabila tangan yang dihulur, ludah yang diterima. Nilai persahabatan yang dihulurkan, keegoaan, kesombongan dan kerendahan yang diterimanya.
Sehinggakan sampai satu masa, dia merajuk lalu pergi meninggalkan semua. Atas alasan apa? "Biarlah aku sendirian, kerna mereka lebih suka aku pergi."
Kini, dia cuba bangkit kembali untuk menebus kekhilafan diri. Namun, sekali lagi dia jatuh terduduk sehingga memaksa untuk memaut pada sesuatu. Apakan daya, kudratnya hanya tinggal sisa. Sisa yang tinggal sementara untuk meniti alam sana. Atas sebab apa dia sedemikian rupa?
Rupanya kasih yang ingin dicurahkan, ukhuwah yang ingin disemaikan disalah tafsir. Malahan dakwah yang diketengahkan, nasihat yang diberikan dibalas dengan kesombongan dan keegoaan seorang manusia. Sekali lagi kekecewaan dan hiba menusuk hati.
"Andai sekali ini nasihatku tak diperlukan lagi, aku redha ya Allah. Sungguh aku tahu aku belum cukup sempurna. Maka, aku redha."
TO PROVIDE
3 months ago
0 comments:
Post a Comment